Berita Harian Online | Dunia lelaki: Malu besar

Berita Harian Online | Dunia lelaki: Malu besar
10 perkara, insiden mengaibkan lelaki LELAKI memang terkenal dengan sifat ego dan tidak mahu mengalah. Pantang dicabar dan tidak suka dipermainkan adalah sifat peribadi kebanyakan lelaki yang kadang kala sukar difahami. Hampir setiap ketika, lelaki seboleh-bolehnya mahu menunjukkan kemampuan dan kehebatan mereka walaupun pada hakikatnya, mereka mungkin tidak berupaya. Mengikut pandangan psikologi, sifat yang ada pada lelaki ini diklasifikasikan sebagai identiti gender.
Jejaka yang penuh dengan sifat ego dan tidak boleh menerima kenyataan jika dimalukan, mungkin dipengaruhi faktor persekitaran seperti didikan ibu bapa dan pendedahan budaya. Ada juga pendapat menyatakan lelaki tidak boleh menerima fakta dirinya dimalukan berbanding wanita.
Minggu ini, kolum Dunia Lelaki menyelongkar 10 perkara atau insiden yang boleh mengaibkan lelaki. Sama ada disedari atau tidak, sifat pemalu memang wujud dalam diri jejaka tanpa mengira latar belakang, pendedahan atau kelompok usia. MENANGIS Ini adalah antara perkara yang ingin dielak oleh hampir semua lelaki. Lelaki menganggap, andai menitiskan air mata, segala sifat macho dan gagah akan hilang. Bagi kebanyakan lelaki, mereka akan berusaha untuk tidak menangis di hadapan khalayak lebih-lebih wanita. Apa yang perlu dilakukan? Tidak salah menangis dan sudah sudah menjadi lumrah manusia untuk berasa sedih hingga menitiskan air mata. Menangislah andai perasaan sudah tidak dapat dikawal lagi. Mungkin dengan menangis, akan terpancar perasaan kasihan dan selain menunjukkan sisi berbeza diri anda sebagai seorang yang sensitif. Wanita cukup terusik andai lelaki menunjukkan rasa belas dan sensitif selain sifat macho dan gentleman. Tidak semestinya menangis itu suatu perbuatan memalukan, ia boleh menjadi salah satu keistimewaan lelaki. TERJATUH Semasa kecil, jika anda terjatuh, pasti ramai yang membantu dan memujuk jika menangis akibat kesakitan. Apabila usia sudah menginjak dewasa, ramai lelaki malu jika terjatuh atau tersadung di hadapan orang ramai. Bagi lelaki, setiap langkah akan diatur kemas. Lelaki sentiasa memastikan tidak tersalah langkah atau terpijak sesuatu hingga terjatuh. Lebih-lebih lagi jika sedang berjalan berdua-duaan dengan kekasih hati. Apa yang perlu dilakukan? Jika terjatuh, cool dan biarkan saja. Cepat cari alasan kenapa anda terjatuh seperti terpijak tali kasut yang terbuka ikatannya atau lantai tidak rata. Jangan panik dan malu, berlagaklah seperti tidak ada apa-apa yang berlaku dan cool, okay? TIDAK CUKUP DUIT Jika tidak cukup duit pada tengah bulan, mungkin biasa dan bukanlah satu perkara yang menghairankan. Tetapi sungguh memalukan andai selepas menjamu selera bersama kekasih dan ketika mahu membayar, anda tidak mempunyai wang yang cukup. Sudah tentu ketika itu dunia akan menjadi gelap seketika, tambahan pula sebelum keluar, anda beria-ia berjanji membelanjakan makan. Apa yang perlu dilakukan? Bersikap jujur dan beritahu pasangan anda situasi sebenar. Dalam perhubungan, tidak semestinya lelaki yang harus berbelanja setiap kali keluar bersama. Harus ada tolak ansur dan berjanji anda akan mengeluarkan belanja pada pertemuan berikutnya. KENDERAAN ROSAK DI TENGAH JALAN Anda dalam perjalanan bersama pasangan atau majikan dan tiba-tiba di tengah perjalanan, kenderaan yang dinaiki rosak. Teruk anda dikutuk kerana tidak memeriksa kenderaan dengan sebetulnya. Apa yang perlu dilakukan? Jangan cepat melenting kerana ini akan memburukkan lagi keadaan. Ambil pendekatan dengan menelefon trak tunda secepat mungkin dan katakan dengan jujur mengenai keadaan kenderaan anda. DIHINA Wanita yang anda sukai menghina anda dan menolak cinta anda. Begitu juga dengan majikan anda yang memarahi dan menghina di depan rakan sekerja yang lain. Sudah tentu anda akan malu dan ingin memarahi mereka semula. Apa yang perlu dilakukan? Lelaki tidak boleh menerima jika mereka dihina lebih-lebih lagi di hadapan khalayak. Jangan cepat melenting dan marah, banyakkan bersabar dan fikir semula kenapa anda dihina. Lelaki yang bersikap sopan dan penuh kesabaran adalah lelaki yang dipandang tinggi oleh semua. Jika ada kesempatan bersemuka dengan mereka yang menghina anda, katakan dengan lembut dan bincang apa yang perlu dilakukan bagi membersihkan nama anda. DIKALAHKAN Pantang bagi seorang lelaki dikalahkan dalam apa juga perkara terutama pihak yang menang itu adalah wanita. Sudah tentu perasaan anda ketika itu penuh dengan malu, tidak puas hati dan dendam. Apa yang perlu dilakukan? Sentiasa percaya kepada takdir dan tidak semestinya anda akan selalu berada di atas. Ada ketikanya anda akan berada di bawah dan jika anda tewas, ucapkan tahniah kepada lawan anda. Terima kekalahan dengan hati terbuka dan anggap ini semua cabaran dalam kehidupan. TERBONGKAR Lelaki juga penuh dengan rahsia yang tersembunyi dan tidak diketahui oleh orang lain. Jika rahsia mengenai mereka terbongkar, sudah tentu ini akan memalukan mereka. Bayangkan jika tabiat anda semasa tidur bertemankan bantal busuk sedari kecil diketahui oleh rakan-rakan anda. Sudah tentu ia akan membuatkan anda malu seketika bukan. Apa yang perlu dilakukan? Terangkan secara psikologi kenapa anda tidak boleh tidur tanpa memeluk bantal busuk anda. Tunjukkan anda mempunyai jawapan akademik yang akan mematahkan setiap tutur kata mereka. Katakan juga, anda sedang berusaha untuk mengubah cara hidup anda ini. LUPA HARI ISTIMEWA Lelaki tidak ramai yang mempunyai rutin hidup terancang lebih-lebih menyimpan rekod mengenai perkara penting seperti tarikh lesen memandu tamat, jauh sekali hari jadi atau hari istimewa yang sepatutnya diraikan. Akibatnya, lelaki sering terlepas hari istimewa seperti hari jadi atau sambutan ulang tahun perkahwinan hingga ia kadang kala melukakan hati si dia atau isteri. Apa yang perlu dilakukan? Mulalah menyusun kembali rutin hidup. Dalam kecanggihan dunia teknologi sekarang, banyak gajet yang boleh dimiliki lelaki untuk menyimpan rekod secara sistematik di mana ia boleh mengingatkan kita apabila tiba detiknya. PENDEK Maaf, mungkin tidak diterima, tetapi inilah kenyataannya. Lelaki pendek selalu berasa dirinya memiliki kekurangan sedangkan sebenarnya tidak. Wanita tidak semuanya memilih lelaki tinggi lampai untuk dijadikan teman. Andai memiliki ciri-ciri fizikal idaman sekalipun, namun pakej diri tidak sempurna, anda tetap akan dijauhi, okay? Apa yang perlu dilakukan? Tonjolkan identiti anda yang sebenar dan sentiasa berfikiran positif. Ya, mungkin anda tidak memiliki ketinggian ideal, tetapi anda ada personaliti dan peribadi yang memikat. Jangan lupa, wanita sukakan sesuatu yang cute dan comel. Anda mungkin pilihan mereka! JERAWAT Jerawat paling ditakuti terutama lelaki yang meningkat usia remaja. Bimbang ‘saham’ turun atau tidak menarik, kebanyakan lelaki yang sensitif dengan paras rupa bimbang wajah ditumbuhi jerawat. Apatah lagi yang sedang berusaha mencari pasangan, sebiji jerawat yang tumbuh saja sudah cukup mengganggu emosi. Apa yang perlu dilakukan? Amalkan gaya hidup sihat dan bersih. Pastikan kulit wajah sentiasa dijaga dengan pelbagai produk perawatan wajah yang boleh dibeli di pasaran. Andai anda memiliki kulit sensitif, kenal pasti jenis makanan atau perbuatan yang perlu dielak setiap masa.

Menangi hati si dia

Menangi hati si dia

Oleh Alzahrin Alias zahrin@bharian.com.my 2011/02/05

10 perkara lelaki perlu tahu mengenai wanita KITA selalu mendengar dalam menjalin hubungan, perlu ada tolak ansur dan saling faham memahami antara satu sama lain. Selalu saja dikatakan, wanita lebih banyak bertolak ansur dan berubah demi memahami situasi atau kehendak lelaki.
Namun, ada juga lelaki yang memahami perasaan dan kemahuan seorang wanita dan sanggup berubah demi wanita dicintai. Namun, tinjauan rambang yang dibuat menunjukkan ramai menyatakan wanita terlalu rumit untuk difahami.
Pandangan ini mungkin betul atau salah. Bagi sesetengah pihak pula, mungkin tidak semua wanita sukar difahami. Persoalannya, apakah cara lelaki untuk memahami wanita dan apakah sifat wanita yang lelaki perlu ketahui? Minggu ini, kolum Dunia Lelaki berkongsi senarai 10 perkara lelaki perlu tahu mengenai wanita untuk jejaka lebih memahami si dia. SENSITIF: Bukan bermaksud suka merajuk, tapi hanya ingin bermanja dan mendapatkan perhatian. Apabila seseorang wanita menyatakan dia sedang bersedih tetapi tidak menitiskan air mata, itu bermakna dia sedang menangis dalam hati. CEREWET: Bukan bermaksud ‘fussy’ tidak tentu hala, kadang kala ingin lelaki mengikut kata-katanya sekali sekala. Ikutkan saja kemahuan mereka selagi mampu tetapi ingat jangan mengeluh tidak tentu pasal... ini boleh memburukkan lagi keadaan. HALUS: Ibarat sehelai sutera, cantik, mulus, lembut dan mudah tercarik dan koyak. Walaupun seorang wanita memaafkan seseorang yang lain atas sebab kesalahan, lazimnya wanita akan ingat kesalahan itu untuk disimpan jadi pengajaran... bukan dendam. IKHLAS: Ikhlas seorang wanita tak perlu diragui. Semua wanita mahukan seorang lelaki yang cintakan mereka sepenuh hati dan lelaki juga perlu ikhlas mencintai wanita. PERASAAN: Wanita suka jika sesekali orang yang disayangi membuat kejutan dengan memberi hadiah, bunga atau sekadar kad ucapan romantis. Mereka akan rasa terharu dan merasakan bahawa dirinya dicintai setulus hati. Dengan ini, dia tidak akan ragu-ragu terhadapmu. PRIHATIN: Sentiasa memerhatikan keadaan sekeliling dalam diam. Wanita juga mudah jatuh hati pada lelaki yang prihatin dengan selalu ambil berat mengenai mereka dan baik terhadapnya. MANJA: Walaupun dia adalah seorang wanita yang pandai berdikari, naluri mereka masih lagi tetap seorang wanita. Suka bermanja bukan hanya kepada insan yang bernama lelaki, namun juga dengan orang lain seperti sahabat atau keluarga. EGO: Wanita yang terlalu sayangkan kekasihnya sanggup menolak ketepi egonya apabila bersemuka dengan yang dicintai. Ini kerana apabila lelaki yang disukai merenung tajam ke dalam matanya, dia akan cair seperti coklat!! CINTA: Cinta pertama bagi wanita adalah yang paling dalam dan tulus. Apabila lelaki yang dicintainya pertama kali dalam diam memberikan tindak balas positif, misalnya menghubunginya melalui telefon, si gadis akan bersikap acuh tak acuh seolah-olah tidak berminat. Namun selepas ganggang telefon diletakkan, dia akan menjerit kesukaan dan tidak sampai sepuluh minit, semua rakan-rakannya akan tahu berita itu! SEKS: Seks bukanlah segala-galanya buat wanita kerana wanita diciptakan dengan sembilan nafsu dan satu akal. Mereka mempunyai nafsu yang banyak dan tidak tertumpu kepada satu saja. Lelaki pula dijadikan dengan sembilan akal dan satu nafsu. Fungsi sebenar lelaki ialah membimbing wanita dan bukan menghanyutkannya. Mencari cinta sempurna CINTA perlu keserasian. Kesatuan yang kukuh ini melambangkan percantuman dua hati menjadi satu. Persoalannya, boleh atau tidak menjadikan cinta itu sesuatu yang sempurna? Pakar motivasi Dr Ezairy M Sallih menyatakan hidup bercinta memerlukan pengorbanan sepanjang masa, kesetiaan dan paling penting ialah saling memahami antara satu sama lain. “Tidak kira lelaki atau wanita jika tiada semua ini, biasanya cinta itu akan terhenti di tengah jalan. Bukan namanya cinta kalau tak ada semua faktor ini. Perlu ketahui apa perkara atau petua mengenal pasangan kita. “Nampak macam remeh, tapi jika diabaikan selalu, benda-benda inilah yang akan menyumbangkan kepada salah satu faktor keruntuhan sesebuah cinta itu. Betul, bukan kepada yang belum berkahwin saja, yang sudah berumah tangga perlu lebih berhati-hati lagi,” katanya kepada XY-Ikon Lelaki. Dr Ezairy berkata, masalah remaja ialah terlalu cepat untuk mengikut rakan, lihat kawan sudah ada kekasih, mereka juga mahukan seorang. “Berkasih, bercinta itu tak salah. Apa yang salah itu ialah lari dari matlamatnya. Apabila anda sudah mula rasa ingin masuk ke alam percintaan, maka pasang niat anda. “Betulkan kembali tujuan asal anda bercinta. Andai matlamatnya ialah sekadar mahu bersuka-suka, atau untuk merasa dikasihi dan disayangi saja, niat itu menjadi salah. Perlu dibezakan antara keperluan dan keinginan,” katanya. Beliau berkata, kejar perkara yang perlu terlebih dulu dan apa yang anda inginkan, akan tercapai kemudian. Ubah niat dan pasang niat yang benar-benar ikhlas dan jujur. “Bercintalah semata-mata untuk memupuk lagi rasa tanggungjawab anda kepada pasangan, untuk Maha Pencipta dan juga untuk seluruh anggota masyarakat,” katanya. Mengenali wanita APA pandangan lelaki mengenai wanita? Adakah mereka kenal wanita di sekeliling atau hanya kenal luaran, bukannya dalaman wanita terbabit. Ramai yang menyatakan mereka kenal wanita yang mereka cintai, tapi apabila bertanya lebih lanjut, pasti banyak yang tidak dapat dijawab mereka. Bagi Ahmad fidzrie Zamzami, 27, mengenali seorang wanita tidak hanya pada rupa parasnya saja. Menurutnya, lelaki perlu tahu mengenai wanita yang ingin dicintai sedalam-dalamnya. ? Apakah definisi wanita kepada kamu? Wanita bagi saya adalah pelengkap. Ini kerana setiap lelaki perlu ada wanita di dalam hati mereka. Tidak semestinya kekasih. Malah ibu juga tergolong dalam kategori ini. Jika kita dapat fahami ibu, kita nescaya bakal kenal isi hati wanita yang lain. ? Adakah anda setuju dengan sesetengah lelaki menggunakan wanita hanya untuk keseronokan sementara? Tidak setuju kerana dalam menjalin hubungan tidak perlu timbul isu ini. Seorang lelaki perlu mempunyai hati yang ikhlas dalam menjalinkan hubungan. Setiap keburukan yang kita lakukan pasti akan mendapat balasannya kelak. ? Sejauh mana anda mengetahui mengenai seorang wanita? Wanita adalah insan yang penuh dengan banyak perkara yang tersembunyi. Luarannya mungkin nampak lemah lembut dan penuh dengan sifat keibuan, namun jangan sangka mereka tidak boleh menggegar dunia juga seperti lelaki. BERBEZA pula dengan Khairi Johari, 28. Beliau mengaku takut untuk menjalin hubungan dengan wanita tanpa mengetahui wanita itu sepenuhnya. Bagi dirinya, dalam menjalin hubungan dengan wanita sebagai sahabat tidak menimbulkan masalah. Namun, andai berkasih, Khairi selalu tidak yakin. ? Apakah definisi wanita kepada kamu? Wanita adalah insan yang sukar untuk difahami jika kita sendiri tidak memahami wanita itu. Bagi saya, rumit untuk bercerita mengenai wanita sehinggalah kita kenal siapa wanita terbabit. ? Adakah anda setuju dengan sesetengah lelaki menggunakan wanita hanya untuk keseronokan sementara? Lelaki yang mengambil kesempatan terhadap wanita adalah lelaki pengecut. Tidak kira siapa, kita haruslah melayan wanita seperti seorang sahabat. Jika dalam perhubungan itu timbul kemesraan, teruskan tapi bukan dengan mempermainkan perasaan wanita. ? Sejauh mana anda mengetahui mengenai seorang wanita? Akur saya katakan, saya tidak mengenali wanita lain selain adik beradik dan ibu saya sendiri. Ini kerana saya tidak berani untuk menjalinkan hubungan istimewa dengan seseorang wanita sehinggalah saya tahu hati nurani wanita berkenaan.

Berita Harian Online | Tumit Tinggi: Wanita cantik buat lelaki jadi bodoh

Berita Harian Online | Tumit Tinggi: Wanita cantik buat lelaki jadi bodoh

2011/04/02

ORANG selalu cakap, lelaki sukakan wanita cantik tetapi kurang cerdik. Ceritanya, ada kajian yang mengesahkan perkara ini. Kononnya, lelaki lebih rela keluar bersama dengan wanita cantik yang bodoh daripada wanita bijak tetapi kurang menarik. Lebih separuh lelaki berkata otak yang bijak tidak penting selagi wanita itu cantik kerana ia penting untuk mengagumkan rakan mereka! Lapan daripada 10 lelaki berkata, mereka tergugat dengan gadis bijak. Ramai kawan lelaki TT pun cakap macam tu. Kata mereka, berkawan atau berteman dengan wanita cantik campur tak cerdik, lebih bagus, senang nak buat apa saja. Boleh jadi barang perhiasan, tayang-tayang kat orang, biar semua yang melihat, sakit hati, dengki, walaupun mereka sendiri, tak tampan mana pun.

Paling penting, kata mereka, wanita tak berapa cerdik ni senang nak diperbodoh-bodohkan. A dikatakan, A lah jadinya. Senang digula-gulakan, tak ada nak bertekak, mempertikaikan atau melarang kalau golongan Adam ni cuba, ‘try’ nasib nak buat benda tak betul kat perempuan tu.

Konon, banggalah rasa macam tu. Tapi pernah tak lelaki begini fikirkan...bila berkawan dengan wanita cantik, tak kiralah yang panda atau kurang cerdik, sebenarnya dia orang yang jadi bodoh? Banyak sangatlah contoh kalau TT nak bagi, tapi tak cukup ruang ni, berminggu-minggu tak habis. Anehnya, bila dapat wanita cantik, bangga, hendak pula dia sendiri hodoh tak ingat, harapkan duit je lebat. Jangan kata dia boleh perbodoh-bodohkan wanita, dia yang dibodoh-bodohkan. Janji boleh teman dia minum, makan, jalan-jalan, kepit-kepit, tayangkan kat orang, konon-kononnya ada girlfriend cun-melecun, bergetah, sedar tak sedar, semua belanja dia kena keluarkan. Abang tolong bayar tu, abang, sayang nak ini, itu, semua bagilah. Akhir-akhir kena `buang,’ baru menangis tak berlagu. Bisinglah cerita kat satu dunia, perempuan tu mainkan dia, banyak duit habis, beribu, berpuluh-puluh ribu. Padan muka!!!! Sekarang siapa yang tak cerdik? TT baca satu laporan, kononnya hasil kajian dibuat sekumpulan pakar Universiti McMaster di Kanada. Menarik! Suka TT baca. Katanya, apabila lelaki melihat perempuan yang cantik, menarik atau apa yang mereka kategori sebagai ‘hot,’ keupayaan mereka untuk membuat keputusan bijak, berkurangan. Dalam kajian yang dijalankan oleh Margo Wilson dan Martin Dal itu, seramai 209 lelaki dan wanita ditunjukkan gambar individu daripada jantina berbeza - lelaki ditunjukkan gambar wanita, wanita ditunjukkan gambar lelaki - yang menarik dan kurang menarik dan diberi pilihan memilih ganjaran wang antara $15 dan $35 esok atau antara $50 dan $75 pada masa akan datang. Hasilnya, majoriti lelaki apabila ditunjukkan gambar wanita tak cun, mereka berfikiran rasional dan memilih ganjaran lebih besar. Tetapi, apabila ditunjukkan gambar wanita cantik, mereka memilih untuk menerima ganjaran yang kecil, keadaan yang amat berbeza dengan wanita. Kacak atau tidak seseorang lelaki, tidak menjejaskan keupayaan mereka berfikir dengan rasional dan bijak. Tiada penjelasan konkrit untuk penemuan itu, tapi yang pastinya lelaki jadi bodoh, bila tengok wanita cantik. Kata Wilson dan Daily, ini mungkin disebabkan melihat wanita cantik, membuat lelaki teruja dan terangsang. Ha, tu lah dia lelaki, kan. Otak, kematangan, kewarasan, memang letak salah tempat. Senang sangat nak buat otak dia orang ni kacau-bilau. Tapi, yang sebetul-betulnya, tak payah tunggu perempuan cantik lah bagi golongan ini, kena yang pandai manja-manja, lentuk-lentuk, layan kehendak dia, apa jantina pun boleh buat dia sasau. Oppps....